Monday, January 24, 2011

Ketuanan Islam DiCapai Keberkatan Hidup DiRai

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 9 surah al-Jumaat :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya),
Islam merupakan agama yang melengkapi seluruh aspek kehidupan manusia bagi memudahkan kita untuk menguruskan dunia berdasarkan agama. Islam mengajar umatnya supaya mempunyai jatidiri dan tidak terikut-ikut dengan cara hidup yang bercanggah dengan agama apatah lagi yang merosakkan aqidah seperti salah suatu syiar Islam ialah laungan azan yang bermula di Madinah pada tahun pertama hijrah. Abdullah bin Umar menceritakan bagaimana semasa orang Islam mula sampai di Madinah dan berkumpul menunggu menunaikan solat tetapi tiada yang menyeru untuk bersembahyang sehinggalah pada satu hari Rasulullah SAW mengumpulkan sahabat untuk membincangkan cara mengingatkan umat Islam mengenai masuk waktu solat dan mengajak mereka ke masjid menunaikan solat berjemaah. Dalam perbincangan itu, ada mencadangkan supaya dikibarkan bendera, ditiupkan serunai atau terompet, dibunyikan loceng dan dinyalakan api di atas bukit. Namun, semua usul itu ditolak Nabi Muhammad SAW kerana sama dengan amalan agama lain seperti Nasrani (Kristian) dan Yahudi. Kemudian Saidina Umar mencadangkan supaya dilaungkan ayat ‘telah datang waktu solat’ dan cadangan itu diterima Nabi, tetapi Baginda menukar lafaznya kepada ‘marilah solat berjemaah’. Sehinggalah pada suatu malam Abdullah bin Zaid dan Umar bin al-Khattab sama-sama bermimpi, mengenai cara lebih baik untuk menghebahkan solat dengan mengumandangkan ‘azan’ sebagaimana lafaz yang ada pada hari ini.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 58 surah al-Maidah :
وَإِذَا نَادَيْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ اتَّخَذُوهَا هُزُوًا وَلَعِبًا ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَا يَعْقِلُونَ
Maksudnya : Dan apabila kamu menyeru (azan) untuk mengerjakan sembahyang, mereka menjadikan sembahyang itu sebagai ejek-ejekan dan permainan. Yang demikian itu ialah kerana mereka suatu kaum yang tidak berakal
Laungan azan bukan suatu perkara kecil dan remeh temeh sebaliknya ia mesti dijaga daripada sebarang pertikaian atau penghinaan. Keajaiban azan yang merupakan antara syiar Islam terbukti apabila azan akan berkumandang di setiap minit selama 24 jam sehari di seluruh dunia berdasarkan perbezaan waktu dan tempat. Ribuan muazzin atau bilal akan melaungkan azan Subuh seawal 5.30 pagi, bermula di bahagian timur Indonesia dan bergerak ke barat kepulauan Indonesia. Belum pun laungan azan itu selesai di seluruh Indonesia, azan akan bergema pula di Malaysia, kemudian disambut di Thailand, Myanmar, China dan seterusnya. Azan akan terus bersahutan di Bangladesh dan bergema pula di India. Sebelum berakhir di Pakistan, laungan azan Subuh akan dilaungkan di Afghanistan dan Oman, kemudian di Emiriah Arab Bersatu, di tanah suci Makkah, Madinah dan negara lain. Proses ini berterusan setiap detik sehingga ke pantai timur Atlantik dalam jangka masa sembilan jam setengah. Sebelum azan subuh bergema di situ, azan Zohor sudah berkumandang di Indonesia semula dan begitulah seterusnya laungan azan akan bersahut-sahutan di serata pelusuk dunia melaungkan keagungan Allah dan Nabi Muhammad SAW setiap detik, sepanjang waktu tanpa henti.
Sehubungan dengan itu apabila timbulnya masalah berkaitan azan seperti isu terbaru apabila seorang peguam bukan Islam menghantar memorandum kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan beberapa pihak berkaitan membantah laungan azan di Masjid Al-Ikhlasiah, Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur 2 minggu lepas di mana dia kemudiannya memohon maaf dengan alasan salah faham antara laungan azan dengan kuliah Subuh. Rentetan daripada peristiwa yang menghiris hati umat Islam itu maka timbul pula suara sumbang supaya kerajaan mengkaji dan mengawal selia penggunaan pembesar suara di masjid mahupun surau yang mirip taktik yang digunapakai di Singapura untuk membendung Islam di mana Singapura melarang laungan azan didengar dari luar lingkungan kawasan rumah ibadat termasuk masjid. Kita menyokong penuh kenyataan Mufti Selangor dalam mengulas isu ini dengan menyatakan laungan azan adalah satu syiar Islam yang menjadi tanggungjawab kepada umat Islam khasnya pemerintah yang beragama Islam untuk mempertahankan perkara ini kerana ia begitu sensitif sekiranya diperlahankan sedangkan tujuan azan untuk memberitahu umat Islam terutama yang berada di luar masjid tentang masuknya waktu solat bukan setakat makluman kepada yang telah berada dalam masjid. Peristiwa ini sepatutnya membuka mata umat Islam agar menghargai laungan azan untuk sama-sama mendirikan solat terutama secara berjemaah. Salah faham orang bukan Islam mesti ditangani dengan penuh hikmat antaranya melalui perbincangan untuk memberi faham kepada mereka tentang syariat Islam. Kita sepatutnya malu apabila orang bukan Islam bukan setahun dua menjadi warga negara Malaysia sebaliknya puluhan tahun namun kefahaman mereka tentang Islam masih kabur. Kita berasa kagum dengan suatu catatan bagaimana sekurang-kurangnya 100,000 penduduk Britain memeluk Islam sejak satu dekad lalu dan secara purata, 5,000 setiap tahun, menurut kajian terbaru satu badan kajian agama, Faith Matter. Mereka memeluk Islam di tengah pemimpin dan masyarakat bukan Islam sedangkan orang bukan Islam di negara kita semakin jahil tentang Islam akibat kelalaian kita. Kita mesti mengembalikan semula ketuanan Islam dalam negara dengan umat Islam sendiri kembali faham dan mengamal kewajipan agama manakala orang bukan Islam diberi penerangan yang jelas dari masa ke semasa tentang kehebatan Islam bukan setakat dalam kitab sahaja tetapi melalui pelaksanaan seluruh sistem Islam dalam kehidupan. Islam yang gagal dilaksana umpama gadis cantik tetapi tidak bernyawa maka tiada yang tertarik kepadanya. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Akibat jahil dan tidak mematuhi larangan Allah menyaksikan masih ramai umat Islam sendiri terlibat dengan industri arak. Kita menyokong penuh usaha Kerajaan Selangor yang menyediakan RM 10 juta untuk membantu pekerja Islam yang bekerja di premis-premis seperti kilang arak, kelab malam dan premis-premis yang melibatkan arak untuk memilih pekerjaan alternatif yang lebih lumayan dan berkat. Jika rakyat bawahan ramai bekerja dengan industri arak, begitu juga masih ada yang kaya terlibat sebagai pemegang saham syarikat arak di samping kerajaan yang terus bergantung pada hasil arak sehingga Malaysia pernah tercatat sebagai pengguna arak ke 10 paling tinggi di dunia. Kita belum pernah mendengar syarikat penerbangan Brunei yang mengharamkan arak menanggung kerugian sedangkan syarikat MAS telah banyak kali menghabiskan wang rakyat untuk menampung kerugian walaupun arak terus disaji melibatkan pramugara dan pramugari serta pekerja Islam yang lain. Kita mesti ingat amaran nabi melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud :
قال االرسول  : لَعَنَ اللَّهُ الْخَمْرَ وَشَارِبَهَا وَسَاقِيَهَا وَبَائِعَهَا وَمُبْتَاعَهَا وَعَاصِرَهَا وَمُعْتَصِرَهَا وَحَامِلَهَا وَالْمَحْمُولَةَ إِلَيْهِ
Maksudnya : Allah melaknati arak. (Allah juga melaknati) yang meminumnya, yang menuangnya, yang menjualnya, yang memerah anggur (untuk dijadikan arak), yang membantu memerah anggur itu, pembawanya dan mereka yang menerimanya
Manusia yang dilaknat atau jauh daripada rahmat Allah sepastinya hidupnya menderita di dunia apatah lagi di akhirat walau pun harta bertimbun, pangkat menggunung, pengikut berduyun, kenderaan bersusun. Bahaya arak juga begitu besar kesannya kepada negara kerana kebanyakan orang yang gila dan mendapat gangguan saraf adalah disebabkan arak. Kebanyakan orang yang bunuh diri ataupun yang membunuh kawannya adalah disebabkan arak. Arak menyebabkan sakit jantung, radang paru-paru, batuk kering, barah mulut dan kerongkong, radang, kerosakan dan barah hati serta melemahkan sistem pertahanan badan. Di Amerika saja mencatatkan jumlah kematian yang disebabkan oleh arak adalah seramai 100,000 orang setiap tahun. Sudah tibanya masanya untuk kerajaan memikirkan cara terbaik untuk membebaskan rakyat daripada arak sebagaimana dadah. Buat apa mengharapkan keuntungan hasil arak sedangkan kesan bahaya kepada negara begitu besar. Kembalilah kita untuk membina negara berkat dengan mengembalikan semula ketuanan Islam dalam negara.
Firman Allah dalam ayat 219 surah al-Baqarah:
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا ۗ وَيَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنْفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الْآيَاتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya : Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: “Dermakanlah – apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir:
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

No comments:

Post a Comment