Monday, January 24, 2011

PERISTIWA AR-RAJI’

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Janganlah kita hanya tahu mendengar sahaja perkataan taqwa serta menyebutnya sedangkan ia tidak menyerap ke dalam sanubari kita . Hitunglah diri kita setiap masa samada semakin hampir kepada Allah atau sebaliknya. Adakah amalan soleh kita semakin meningkat atau pun menurun….

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 2 dan 3 surah al-Ankabut

أحسب الناس أن يتركوا أن يقولوا آمنا وهم لا يفتنون. ولقد فتنا الذين من قبلكم فليعلمن الله الذين صدقوا وليعلمن الكذبين.

Maksudnya : Adakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan begitu sahaja untuk mengatakan bahawa kami telah beriman sedangkan mereka belum diuji. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka maka sesungguhnya Allah mengethaui orang-orang yang benar dan mengetahui mereka yang berdusta.

Hari demi hari, mingu demi minggu berlalu dengan pantas tanpa menghiraukan adakah penghuninya mampu mengambil manfaat dengan kedatangannya untuk berbuat ketaatan kepada Allah atau sebaliknya. Kini kita semua sudah pun berada pada permulaan bulan Sofar yang turut merakamkan beberapa peristiwa sejarah yang penting untuk kita sama-sama menghayati dan mengambil pengajaran daripada peristiwa yang berlaku. Antara peristiwa penting yang telah berlaku pada bulan Sofar ialah peristiwa yang menyayat hati di mana pendakwah yang dihantar dalam peristiwa ar-Raji’ dan Bi’ Ma’unah telah dibunuh dengan kejam oleh musuh Islam,seterusnya pada bulan inilah juga menyaksikan Khlaid ibnu Walid, ‘Amru bin al-‘Ash dan Uthman bin Talhah memeluk Islam, pada bulan ini juga Usamah bersama bala tentera Islam dihantar untuk berperang dengan Kerajaan Rom dan pada bulan ini jugalah Rasulullah s.a.w mula sakit tenat sehinggalah baginda wafat pada pertengahan bulan Rabiul Awwal tahun 11 Hijrah

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Pada hari ini marilah kita sama-sama merenungi apa yang berlaku dalam peristiwa ar-Raji’. Peristiwa ar-Raji’ telah berlaku pada bulan Sofar tahun 4 Hijrah di mana beberapa wakil daripada qabilah ‘Adal dan Qarah telah datang menemui Rasulullah s.a.w di mana mereka telah meminta daripada baginda agar menghantar beberapa orang sahabat bertujuan untuk mengajar al-Quran dan hukum-hakam agama atas dasar di tempat tinggal mereka yang bernama ar-Raji’ terdapat sambutan yang baik kepada ajaran Islam. Lalu Rasulullah sa.w menghantar 6 orang sahabat (menurut riwayat imam Bukhari 10 orang sahabat) di mana Mar’id bin Abi Mar’id dilantik menjadi ketua kepada rombongan pendakwah tersebut. Peristiwa ini menunjukkan kepada kita bagaimana tanggungjawab pemimpin dan Daulah Islamiah di mana berperanan untuk memastikan Islam tersebar melalui penghantaran pendakwah dan sebagaimananya seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan juga pernah dilakukan oleh Kesultanan Melayu Melaka sebelum ini sehingga Islam tidak tertumpu di suatu tempat sahaja tetapi turut diterima dakwahnya diseluruh pelusuk dunia. Cuma pada hari ini terutama di negara kita, kerja-kerja ini tidak dibuat secara bersungguh malah masih ramai orang bukan Islam takut apabila mendengar perkataan Islam yang dimomokkan dengan keganasan dan perpecahan kerana orang Islam sendiri yang menerangkan perkara yang bercanggah dengan Islam yang sebenar kepada mereka. Kita lihat bagaimana gerakan dakwah Kristian bukan sahaja dapat bergerak bebas dalam memurtadkan umat Islam termasuk dengan sihir tanpa ada tindakan dan mereka telah berjaya memurtadkan begitu ramai umat Islam walau pun mereka tidak mempunyai kementerian khas Kristian di negara ini. Sebaliknya kerajaan yang mendakwa mahukan Islam dengan menubuh Pusat Islam dan beberapa organisasi yang lain seperti JAKIM, IKIM,YADIM dan lain-lain tidak pula menunjukkan sesuatu yang memberangsangkan terhadap perkembangan Islam malah semakin hari semakin ramai yang murtad dan jauh daripada Islam yang sebenar. Adakah tugas mereka untuk mengembangkan Islam atau untuk menyekat pengaruh kemenangan Islam.

Sidang Jumaat yang dihormati

Ketika sampai di ar-Raji’ iaitu di suatu kawasan yang bernama Huzail, tiba-tiba mereka telah didatangi bala tentera yang lengkap bersenjata menunggu untuk bertindak. Mereka datang beramai-ramai mengepung paara sahabat yang ditugaskan untuk menjalankan tugas dakwah itu. Mereka berkata : “Lebih baik kamu semua menyerah diri kepada kami kerana kami tidak akan melakukan apa-apa kepada kamu. Kami cuma mahu mendapatkan sesuatu daripada orang-orang Mekah jika menyerahkan kamu kepada mereka”. Tetapi ketua rombongan pendakwah Islam itu tidak mahu mahu menyerah dan mengambil keputusan lebih baik mati bertempur daripada menyerah serta tidak sekali-kali percaya kepada janji-janji orang musyrikin itu lalu beliau dan beberapa orang sahabat yang lain menentang musuh sehingga mereka gugur syahid.

Seorang perempuan musyrikin Quraisy dimana salah seorang anaknya dibunuh dalam satu peperangan oleh ‘Asim bin Thabit iaitu salah seorang daripada pendakwah yang telah gugur syahid itu telah bernazar untuk minum arak dalam tempurung kepala ‘Asim tetapi Allah memelihara kepalanya daripada diambil oleh musuh apabila Allah mengahantarkan sekumpulan lebah untuk menjaga jasadnya.

Manakala 3 orang daripada mereka yang masih tinggal iaitu Zaid bin Abi ad-Dasinah, Khubaib bin ‘Adi dan Abdullah bin Tariq telah mengambil keputusan untuk menerima janji yang ditawarkan oleh musuh Islam itu. 3 orang tawanan tadi dibawa ke Mekah untuk dijual dan ketika mereka tiba di Zuhran Abdullah bin Tariq berjaya melepaskan diri daripada ikatan lalu menyambar pedang dan melawan musuh sehingga dia gugur syahid. 2 orang yang masioh tinggal terus dibawa ke Mekah dan dijual dengan bayarannya ialah membebaskan 2 tawanan daripada qabilah Huzail yang ditawan oleh pihak kafir Quraisy.

Khubaib bin ‘Adi telah dibeli oleh Bani al-Harith bin ‘Ammar bin Naufal kerana dia telah membunuh pemimpin mereka Harith dalam peperangan Badar. Khubaib telah diperhinakan dan dipukul berkali-kali dengan cara yang menyakitkan dan juga telah dipenjarakan. Pada suatu hari ketika Khubaib sedang bercukur di rumah Bani Harith tempat kurungannya, tiba-tiba seorang anak kecil dari keluarga itu datang menghampiri Khubaib lalu dia mengambil anak itu dan diletakkan atas ribaannya. Apabila si ibu menyedari anak kecilnya tiada di sisi lalu dia melihat ke arah Khubaib dan terlihat anaknya berada atas ribaan Khubaib yang sedang memegang pisau cukur. Khubaib melihat kepada si ibu lalu berkata : “ Aku tahu perasaanmu iaitu menganggap bahawa aku akan membunuh anak ini bagi membalas dendam terhadap apa yng diperlakukan kepadaku. Demi Allah aku tidak akan melakukan perkara kejam itu”. Selepas itu dia melepaskan anak kecil itu walau pun dia boleh membunuhnya atau pun menjadikannya tebusan untuk membebaskannya tetapi dia tidak berbuat demikian. Si ibu begitu takjub melihat apa yang berlaku dan memuji kemuliaan akhlak Khubaib. Inilah dia antara kesan daripada tarbiah Rasulullah s.a.w yang dapat kita sama-sama lihat. Seterusnya Khubaib di bawa ke Tan’im untuk dibunuh di mana sebelum itu dia telah meminta agar diberi peluang untuk dia melakukan solat sunat 2 rakaat. Setelah selesai solat lalu dia berkata dengan tegas : “ Demi Allah, jika tidak kerana bimbang kamu menuduh aku pengecut nescaya aku akan bersembahyang lebih panjang lagi”. Kemudia dia berdoa :“Wahai Tuhanku! Hitungkanlah mereka semua dan binasakanlah mereka semua sehingga jangan tinggalkan walau pun seorang”. Kemudia dia bersyair antaranya : “ Demi sesungguhnya aku tidak peduli sekiranya aku dibunuh sebagai seorang Islam di mana sahaja anggota yang dibunuh. Perkara itu kerana Allah jika ia mengkehendaki nescaya Dia memberkati setiap anggota yang dihiris”.Kemudian bangunlah Uqbah bin al-Harith lalu membunuh Khubaib dan gugurlah seorang sahabat yang tabah dan berani mati kerana Islam.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah

Pada hari yang sama mereka membunuh seorang lagi sahabat iaitu zaid bin ad-Dasinah yang dibeli oleh Safuan bin Umaiyyah. Abu Sufian yang menjadi pemimpin taghut pada masa itu bertanya kepada Zaid : “ Apakah pendapat kamu jika Muhammad berada sekarang mengantimu supaya kami dapat pancungkan lehernya?”. Dengan tegas Zaid menjawab : “ Demi Allah! Aku tidak rela sekali pun nabi Muhammad s.a.w terkena duri sedangkan aku bersama-sama keluargaku”. Abu Sufian berkata : “ Aku tidak pernah bertemu sesorang itu begitu kasih kepada seseorang yang lain seperti para sahabat Muhammad kasih kepada Muhammad”. Selepas itu Zaid dibunuh oleh musuh tanpa belas kasihan. Inilah dia kasih sayang para sahabat terhadap diri Rasulullah s.a.w dan Islam sehingga mereka lebih rela mati daripada melihat baginda dikhianati dan Islam dihina. Bagaimana dengan kita pada hari ini?. Adakah kita terus rela melihat Islam dimaki, umat Islam dibunuh dan dihalau dari tanahair mereka sendiri, Hukum Allah dipersenda, Sunnah nabi dihina,para ulama’ dicerca oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan memang bencikan Islam untuk dilaksana.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Firman Allah dalam ayat 23 surah al-Ahzab

من المؤمنين رجال صدقوا ما عاهدوا الله عليه . فمنهم من قضى نحبه ومنهم من ينتظر وما بدلوا تبديلا

Maksudnya : Antara orang-orang mukmin itu ada mereka yang telah menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Maka di antara mereka ada yang telah gugur syahid dan antara mereka ada pula yang menunggu (datangnya syahid) dan mereka sedikit pun tidak mengubah janjinya.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

No comments:

Post a Comment